PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA

Hari ini saya akan meneruskan penulisan blog saya tentang topik yang kedua iaitu Pemerolehan Bahasa Kedua. Oleh itu, apakah yang anda faham tentang pemerolehan bahasa kedua? Pemerolehan bahasa kedua ialah mempelajari bahasa selain bahasa ibunda masing-masing. Sebagai contoh, orang Melayu mempelajari bahasa kedua seperti bahasa Tamil,Mandarin,Inggeris dan sebagainya.

Menurut Abdullah Hassan (1987), sesetengah individu mempelajari bahasa kedua kerana hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Mereka perlu mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda untuk memudahkan sebarang komunikasi. Misalnya, seseorang yang baru tiba dalam masyarakat baru itu dianggap asing.Dia tidak akan berasa tersisih atau terasing jika dapat menguasai bahasa masyarakat tersebut.

 


DEFINISI BAHASA KEDUA

Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua ialah bahasa yang kedua dipelajari seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh. Bahasa kedua ini adalah bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu.

KAEDAH-KAEDAH PENGAJARAN BAHASA KEDUA TERBAHAGI KEPADA 7 KAEDAH IAITU : 

1) Kaedah nahu terjemahan

2) Kaedah terus

3) Kaedah semula jadi

4) Kaedah ajuk-hafaz

5) Kaedah linguistik

6) Kaedah gerak balas fizikal keseluruhan

7) Kaedah suggestopedia

Saya akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai beberapa kaedah pengajaran bahasa kedua yang telah dinyatakan di atas.

KAEDAH NAHU TERJEMAHAN

Kaedah ini menerangkan tentang pendedahan perbendaharaan kata pada peringkat awal pembelajaran. Terjemahan merupakan aspek yang paling penting. Kata-kata diberi dalam bentuk terasing daripada konteks dan disusun dalam ayat melalui hukum tatabahasa. Hukum-hukum tatabahasa kemudiannya dihafaz sebagai cara untuk menguasai bahasa tersebut. Melalui ini, seseorang lebih mudah untuk memahami tatabahasa bahasa kedua dan menggunakannya dengan betul, membolehkan seseorang menterjemahkan bahasa asing kepada bahasa ibunda atau sebaliknya.

 KAEDAH TERUS

Kaedah terus pula ialah pelajar tidak dibenarkan menggunakan bahasa ibunda. Penjelasan tentang makna dijelaskan dalam bahasa tersebut juga. Kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer sekitar tahun 1920 hingga 1935

KAEDAH SEMULA JADI

Kaedah ini mula diperkenalkan dan dipraktikkan di Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua. Pembelajaran bermula dengan dialog yang mengandungi perbendaharaan kata dan unsur tatabahasa yang berfokus kepada pelajaran. Kemahiran tatabahasa dikuasai secara tidak langsung melalui kaedah ini.

KAEDAH AJUK-HAFAZ

Kaedah ajuk-hafaz ialah tatabahasa yang dipelajari secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan. Makna ayat diberi dalam ungkapan biasa yang digunakan dalam bahasa ibunda secara umum dan bukan menterjemah perkataan demi perkataan. Keberkesanan kaedah ini dapat dilihat melalui kemahiran lisan seperti latihan bercakap, latihan menyebut perkataan dengan betul dan kemahiran lisan yang lain.Kaedah ini tercipta dalam Rancangan Bahasa Intensif oleh Persatuan Cendekiawan Majlis Amerika ( American Council of Learne Societies ).

KAEDAH SUGGESTOPEDIA

Kaedah ini pula ialah aktiviti yang dapat menggerakkan fungsi otak ketika pembelajaran bahasa. Kaedah ini telah diasaskan oleh Georgi Lazanoz pada tahun 1979. Antara aktiviti yang sesuai dijalankan ialah perbendaharaan kata, membaca, berdialog dan sebagainya. Satu kelainan yang tidak terdapat dalam pengajaran bahasa lain ialah penggunaan alatan muzik sebagai latar. Alat muzik bukan sahaja dapat menimbulkan rasa tenang, malah mampu merangsang keupayaan serta keseimbangan otak kiri dan kanan.

PUNCA MASALAH PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA

1) Kurangnya latihan

2) Pengaruh dialek

3) Tidak mempraktikkan dalam kehidupan seharian

4) Masalah pencampuran kod

Saya akan menghuraikan sedikit punca masalah pemerolehan bahasa kedua berdasarkan isi yang dinyatakan di atas. 

KURANGNYA LATIHAN

Masalah pemerolehan bahasa kedua berpunca daripada kurangnya latihan. Hal ini kerana seseorang itu hanya boleh mengingati sesuatu perkara selama 24 jam sahaja. Oleh itu, latihan yang berterusan dapat menolong seseorang itu untuk mengingati apa-apa yang telah dipelajari. Sekiranya tidak melakukan latihan, lama kelamaan kita akan lupa apa yang dipelajari. Sebagai contoh, penguasaan bahasa Inggeris. Walaupun kita sudah diberikan pengetahuan asas namun masih sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan jika kurangnya latihan.

PENGARUH DIALEK

Pengaruh dialek juga merupakan antara masalah pemerolehan bahasa kedua yang tidak berkesan. Ini kerana bahasa dialek negeri masing-masing amat berbeza dengan bahasa baku ataupun standard. Dialek juga mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza dengan bahasa baku dari segi sebutan,tatabahasa dan penggunaan kata-kata tertentu. Contohnya adalah seperti berikut;

Bahasa baku       Dialek daerah

Air                        Ayaq  

Makan                  Makang/Make

Jalan-jalan            Jalang-jalang

Besar                    Besaq, Beso

 

TIDAK MEMPRAKTIKKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Masalah tidak mempraktikkan dalam kehidupan seharian. Ini kerana wujudnya sifat malu dalam diri mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa kedua. Perkara ini akan melemahkan lagi proses pemerolehan bahasa kedua. Mereka menggunakan bahasa dialek masing-masing untuk bertutur dengan rakan kerana malu untuk menggunakan bahasa kedua. Mereka takut salah dan ditertawakan oleh orang jika menggunakan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris. Oleh itu mereka lebih gemar menggunakan bahasa ibunda ataupun dialek negeri masing-masing untuk berkomunikasi. Oleh itu, perkara ini boleh menjadi punca dan boleh melemahkan proses pemerolehan bahasa kedua. 

MASALAH PENCAMPURAN KOD

Masalah pemerolehan bahasa kedua juga berpunca daripada pencampuran kod iaitu code-mixing. Pencampuran kod ialah penutur mencampurkan lebih bahasa dalam satu tajuk perbincangan yang sama. Pencampuran kod ini juga dikenali sebagai ‘bahasa rojak’ iaitu mencampur adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ketika bertutur. Situasi ini juga dapat dilihat melalui aplikasi ‘WhatsApp’.Sebagai contoh yang dapat dikemukakan adalah seperti dibawah;

1) You all hendak ke mana?

2) Last week, j dengan family pergi picnic di Seremban

3) Next month, my mum akan menjalani operation perut.

Masalah pencampuran kod antara dialek dengan bahasa Melayu juga berlaku. Sebagai contoh;

1) Saya makang nasi.

2) Berapa pitih sayur ini?

3) Ibu beli ikang di pasar.

4) Kau beli ayaq di mana?

Kesimpulannya, sekiranya masalah diatas dibiarkan sebegitu, maka pemerolehan bahasa kedua tidak dapat dikuasai dengan baik.



MASALAH YANG BERLAKU KEPADA PELAJAR CINA UNTUK BELAJAR BAHASA KEDUA IAITU BAHASA MELAYU

Kebanyakkan pelajar Cina menggunakan ejaan yang tidak betul. Misalnya orang Cina gemar menggantikan huruf r dengan huruf l. Sebagai contoh; 

Bahasa Melayu        Bahasa Cina

 Lari                           Lali

 Raga                         Laga

 Rambut                    Lambut

 Roti                          Loti

Contoh ayat yang diggunakan oleh Orang Cina;

1) Di sini duduklah.

2) Kamu di mana tinggal

3) Kereta api jalan sudah

Contoh ayat yang betul;

1) Duduklah di sini.

2) Kamu tinggal di mana.

3) Kereta api sudah jalan.

 

MASALAH YANG BERLAKU KEPADA PELAJAR INDIA UNTUK BELAJAR BAHASA KEDUA IAITU BAHASA MELAYU

Pelajar India melakukan kesalahan dalam proses seperti proses  penggantian,penambahan dan menghapuskan fonem-fonem bahasa Melayu. Sebagai contoh;

Bahasa Melayu       Bahasa India

Kepada                      Kapada

Tanpa                        Tampa

Semua                       Semuwa

Sekolah                     Skola

Besar                         Besa

Contoh ayat yang digunakan oleh orang India;

1) Itu pen dakwat sudah habes.

2) Ini hari Aisyah tidak datang.

3) Saya nasi makan.

Contoh ayat yang betul; 

1) Pen dakwat itu sudah habis.

2) Aishah tidak datang hari ini.

3) Saya makan nasi.

Kesimpulan yang dapat dibuat dalam topik kedua ini adalah pemerolehan bahasa kedua adalah bahasa kedua yang dipelajari oleh mereka selepas bahasa pertama ataupun bahasa ibunda. Sebagai contoh, mereka mempelajari bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil ataupun Melayu untuk tujuan tertentu sama ada untuk urusan pekerjaan ataupun untuk memudahkan komunikasi antara masyarakat yang berbilang kaum ini.

 RUJUKAN:

Mohammad Syam’un Salim (2013 Februari) Pemerolehan Bahasa Kedua Menurut Stephen Krashen.Diperolehi.,daripada http://www.researchgate.net/publication/323387864_Pemerolehan_Bahasa_Kedua_Menurut_Stephen_Krashen 

 Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

 Norul Haida bt . Hj. Redzuan. Ilmu Psikolinguistik (2013) Perak: Emeritus Publications.

Retibasa (2010 Ogos 11). Cara Pemerolehan Bahasa Kedua.Diperolehi daripada http://retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-kedua_11.html?m=1 

Zuraini Ramli ( 2018 November ) Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua. Diperolehi daripadahttps://www.researchgate.net/publication/344899130_Zuraini_Ramli_-_Pengajaran_Bahasa_Melayu_Sebagai_Bahasa_Kedua

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KECELARUAN BAHASA

PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA