PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

 Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat-sahabat sekalian. Hari ini saya akan menulis blog mengenai topik yang pertama iaitu Pemerolehan Bahasa Pertama.

 

SIAPAKAH YANG TELAH MEMULAKAN KAJIAN TERHADAP PEMEROLEHAN BAHASA?

 

Pemerolehan bahasa telah dimulakan oleh Tiedemann iaitu seorang ahli biologi  berbangsa Jerman pada tahun I787. Kemudian, kajian tersebut diikuti oleh Charles Darwin. Kajian-kajian yang seterusnya dilakukan oleh Preyer ( 1882) dan Sally (1885). Terdapat juga kajian-kajian lain yang telah dijalankan. Pemerolehan bahasa dikatakan bermula sejak bayi itu dilahirkan lagi iaitu melalui konteks sosial sebelum mereka mula bercakap. Konteks sosial sangat penting untuk membantu bayi tersebut memahami dan mempelajari bahasa Oleh itu. ibu bapa akan mendedahkan objek-objek harian yang terdapat di persekitaran kepada anak mereka.Pendedahan yang diberikan akan membantu perkembangan komunikasi bayi tersebut walaupun pada peringkat awal, bayi tersebut belum mampu untuk menghasilkan sebarang perkataan. Perkataan pertama muncul apabila bayi berumur lebih kurang setahun walaupun ada kajian yang menyatakan lebih awal iaitu sebelum berusia setahun. Penghasilan perkataan ini berlaku akibat daripada perkembangan bahasa sejak bulan pertama lagi.

 

APAKAH DEFINISI BAGI PEMEROLEHAN BAHASA DAN PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA?

Pemerolehan bahasa menurut Kridalaksana (2001:159) mendefinisikan pemerolehan bahasa sebagai proses pemahaman dan penghasilan bahasa pada manusia melalui beberapa tahap iaitu mulai dari meraban sampai kefasihan penuh.

Definisi pemerolehan bahasa pertama pula terbahagi kepada tiga iaitu:

1) Pemerolehan bahasa pertama diartikan sebagai penerimaan pesan berupa bunyi-bunyi oleh anak semenjak ia masih bayi. 

2) Pemerolehan bahasa pertama terjadi apabila anak yang belum pernah belajar bahasa apa pun mulai belajar bahasa untuk pertama kali.

3) Pemerolehan bahasa pertama adalah proses anak mulai mengenal komunikasi dengan lingkungannya secara verbal. 

Ini bermakna pemerolehan bahasa pertama adalah suatu proses di mana bayi yang baru lahir mula mengenal atau mengeluarkan bunyi yang pertama.

Menurut ( Hornstein dan Lightfoot 1981) Pengetahuan bahasa pertama dikuasai secara tidak formal sejak peringkat awal kanak-kanak, iaitu ketika berusia seawal 18 bulan. Selain itu, proses pemerolehan bahasa ini diterima secara tidak langsung melalui ibu, bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling. Manakala menurut Corde (1973) penguasaan bahasa pertama merupakan proses dibawah sedar dimana pada saat ia sedang memperoleh kemahiran yang lain serta pengetahuan tentang alam sekitarnya.



PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA JUGA MEMPUNYAI PERINGKAT YANG TERTENTU. OLEH ITU, APAKAH PERINGKAT YANG TERDAPAT DALAM PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA?

Peringkat-peringkat dalam pemerolehan bahasa pertama terbahagi kepada empat iaitu :

1) Peringkat vokalis(bebelan)

2) Holofrasa(pertuturan satu kata)

3) Telegrafik (pertuturan 2&3 suku kata)

4) Perkembangan ayat-ayat kompleks

PERINGKAT VOKALIS (BEBELAN)

Pada peringkat ini, bayi yang berusia sejak lahir hingga 10 bulan dapat melahirkan bunyi-bunyi bukan bahasa sebagai latihan dan kawalan alat artikulasi bagi menyelaras pernafasannya. Bayi hanya dapat mengenal pasti bunyi-bnyi suku kata vokal, konsonan dan pola intonasi bahasa. Sebagai contoh bunyi bukan bahasa yang dibunyikan ialah seperti :ee…eee…uu…uuu…aa…aaa…oo…ooo. Selepas tahap ini,kanak-kanak biasanya mula membebel iaitu dengan mengujar dengan mengulangi gabungan bunyi, misalnya seperti ‘ma-ma’ dan ‘pa-pa’.

HOLOFRASA ( PERTUTURAN SATU KATA)

Pada peringkat ini, bayi yang berusia 10 bulan hingga 18 bulan mula menuturkan kata pertama mereka tetapi tanpa sintaksis untuk menamakan objek, meminta sesuatu, menegaskan tindakan dan juga untuk melahirkan sesuatu yang rumit. Pertuturan ini bermula dengan kata yang bersuku kata mudah atau berulang. Kemudiannya beransur-ansur maju kepada suku kata tunggal berlainan pola atau berupaya mencantumkan beberapa suku kata. Sebagai contoh, pertuturan satu suku kata ialah seperti ; ma-ma, ba-ba, ma-mam, na-nak, sa-kit.

TELEGRAFIK ( PERTUTURAN 2&3 SUKU KATA)

Pada peringkat ini, bayi yang berusia 18 bulan hingga 4 tahun sudah berupaya menyebut dengan jelas dua atau tiga perkataan. Kombinasi kata inti yang pendek sama ada kata nama, kata kerja, dan kata sifat beransur maju kepada ayat pendek dua atau tiga kata. Bertujuan meminta, bertanya, menjawab, memberitahu dan sebagainya. Sebagai contoh, pertuturan 2&3 suku kata ialah seperti; nak makan, ibu mana, adik nak ikut, adik tak lapar

PERKEMBANGAN AYAT-AYAT KOMPLEKS

Pada peringkat ini, kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun mula menggunaan nafian, soalan, dan struktur ayat yang lebih kompleks dan berguna dalam bahasanya. Pada umur 9 atau 10 tahun keatas, kanak-kanak memperoleh semua struktur bahasa pertamanya pada tahap pra olahan ( rendah-sederhana). Namun meningkat ke tahap olahan konkrit pada umur 11 hingga 12 tahun. Selepas umur 12 tahun, kanak-kanak mencapai olahan formal atau memperoleh struktur bahasa orang dewasa. Sebagai contoh ayat kompleks yang digunakan ialah seperti; saya dan adik bermain bola bersama kawan-kawan. 



CARA PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

Bahasa pertama ialah bahasa yang mula-mula diperolehi dan dikuasai oleh seseorang sejak masih kecil ataupun bayi. Bahasa pertama juga disebut sebagai bahasa kandung atau bahasa ibunda.

Kanak-kanak memperolehi bahasa pertama adalah secara tidak langsung iaitu melalui ibu bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling. Kanak-kanak yang masih kecil ini mampu meniru dan mengujarkan setiap perkataan atau percakapan yang didengari mereka tanpa mengetahui ataupun memahami bahasa tersebut.

Selain itu, segala percakapan ataupun perbualan daripada ibu bapa akan menjadi ikutan oleh kanak-kanak. Mereka akan mendengar perkataan pertama dan berusaha untuk berucap walaupun kita tidak memahami apa yang mereka katakan. Sebagai contoh, ,kanak-kanak mengeluarkan bunyi aaa..eee..mmm…ataupun menangis kerana lapar kerana mereka masih tidak mampu bercakap sepenuhnya.

Hari demi hari, apabila kanak-kanak ini sudah meningkat usia, maka mereka sudah boleh bercakap ataupun bertutur dengan lancar walaupun salah dari aspek tatabahasa kerana mereka belum mempelajarinya secara formal di sekolah tetapi kita sudah boleh memahami apa yang mereka katakan. Ini lah yang dimaksudkan pemerolehan bahasa pertama.

Pemerolehan bahasa pertama ini mungkin berbeza kepada setiap kanak-kanak kerana sudah pastilah ibu bapa bercakap mengikut dialek negeri masing-masing. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak akan memperolehi bahasa pertama mereka berdasarkan dialek setiap negeri mereka tetapi bahasa Melayu tetap menjadi bahasa pertama atau ibunda setiap kaum Melayu.

KESIMPULANNYA

Mempelajari bahasa pertama merupakan salah satu perkembangan menyeluruh kepada kanak-kanak iaitu sebagai permulaan untuk proses berkomunikasi. Oleh itu, bahasa awal-awal yang diperolehi kanak-kanak inilah yang dikatakan bahasa pertama mereka iaitu sebelum mereka mempelajari bahasa lain sebagai bahasa kedua atau bahasa asing.


RUJUKAN:

Alam Budi Kusuma. ( 2 Disember 2016 ) Pemerolehan Bahasa Pertama: Jurnal Komunikasi dan Pendidikan Islam: Pemerolehan Bahasa Pertama Sebagai Dasar Pembelajaran Bahasa Kedua. Diperolehi pada 24 Mac 2021 di  https://journal.staimsyk.ac.id/index.php/almanar/article/download/10/25

Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Norul Haida bt . Hj. Redzuan. Ilmu Psikolinguistik (2013) Perak: Emeritus Publications.

Norhaslinda ( 2012, November 30 ). Peringkat Pemerolehan Bahasa Pertama. Diperolehi daripada  http://norhaslinda32.blogspot.com/2012/11/peringkat-pemerolehan-bahasa-pertama_30.html?m=1

Retibasa ( 2010, Ogos 10 ). Cara Pemerolehan Bahasa Pertama. Diperolehi daripadahttp://retibasa.blogspot.com/2010/08/cara-pemerolehan-bahasa-pertama.html?m=1 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KECELARUAN BAHASA

PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA