KECELARUAN BAHASA

 Baiklah hari ini saya akan meneruskan penulisan blog saya yang terakhir iaitu mengenai Kecelaruan Bahasa.

Kecelaruan bahasa juga dikenali sebagai disleksia. Oleh itu, apa itu disleksia? Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku. Kanak-kanak disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak mengaitkan simbol visual dengan bunyi. Sebagai contoh, mereka mengalami kesukaran membaca,menulis,memahami,mengeja dan mengira.

Disleksia ini bukanlah sejenis penyakit tetapi disleksia ini hanya gangguan dalam pembelajaran ketika di peringkat kanak-kanak sahaja. Secara literalnya, disleksia bermaksud ‘kesukaran dalam berbahasa’ (Ott dalam Sheila dan Samsilah Roslan,2006) tetapi mereka tetap mempunyai pemikiran yang normal seperti orang lain.



CIRI-CIRI DISLEKSIA

1) Lambat bertutur

2) Mengalami kesukaran sebutan atau rima

3) Sukar menulis nama sendiri

4) Sukar mengenal bentuk atau warna

5) Sukar memberitahu cerita yang telah didengari

 

KELEMAHAN KANAK-KANAK YANG MENGALAMI DISLEKSIA

1) Kanak-kanak yang mengalami disleksia ini gagal melakukan tugasan sekolah seperti menulis, membaca, mengeja dan mengira

2) Mereka tidak tahu mengikat tali kasut ataupun tali leher dengan sendiri

3) Mereka tidak dapat membezakan huruf yang hampir sama seperti huruf b,d, dan p

4) Mereka juga menulis dalam keadaan terbalik. Agak sukar untuk orang biasa memahaminya

5) Mereka juga cepat lupa apa yang diajar oleh guru kepada mereka. Oleh itu, mereka tetap akan melakukan kesalahan yang sama berulang kali.

Saya sertakan link filem arahan Aamir Khan mengenai pelajar disleksia ini. Jadi anda boleh melihat dan menghayati filem ini serta mengetahui kelebihan dan kekurangan pelajar disleksia ini. Filem ini bertajuk ‘TAARE ZAMEEN PAR 2007’   

.https://youtu.be/r5P3mFdCHPA

ADAKAH ORANG YANG MENGALAMI DISLEKSIA INI BOLEH BERJAYA?

Ya. Orang yang mengalami disleksia ini juga boleh berjaya jika mereka berusaha. Orang-orang yang ternama yang kita kenal hari ini juga pernah mengalami disleksia ketika mereka masih kanak-kanak. Antaranya adalah seperti Leonardo da Vinci iaitu artis dan seorang saintis yang terkenal iaitu Albert Einstein.



FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB DISLEKSIA

1) Keturunan

2) Pemakanan

3) Bawaan

4) Biologi 

Saya akan menghuraikan faktor-faktor tersebut;


1) KETURUNAN

Masalah disleksia ini juga boleh berpunca daripada gen keluarga yang mempunyai latar belakang disleksia. Oleh itu, Peratusan anak-anak mereka mengalami disleksia ini juga tinggi. Ini telah dibuktikan oleh Hallgren (1970) yang membuat kajian ke atas 12 pasangan kembar monozygote dan mendapati kesemuanya mengalami masalah disleksia ini iaitu menghadapi masalah dalam bacaan dan ejaan. 

2) PEMAKANAN

Pemakanan yang seimbang amat penting dalam pertumbuhan normal. Ini kerana pemakanan yang seimbang akan membekalkan kalori,protein,mineral,vitamin dan sebagainya dengan mencukupi. Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak sedang membesar, pertumbuhan kanak-kanak akan terencat(Bernet,2005). Pengambilan makanan yang mempunyai penyedap makanan, bahan awet, dan pewarna tiruan yang berlebihan juga boleh mengganggu otak terutamanya kepada kanak-kanak yang sedang membesar.Oleh itu, jagalah pemakanan kita dan makanlah makanan yang memberi khasiat kepada kita.

3) BAWAAN

Masalah disleksia boleh berlaku sejak dilahirkan. Sebagai contoh, tempoh 5 tahun pertama selepas dilahirkan, seorang kanak-kanak mungkin kerap mengalami selsema dan berkemungkinan berlakunya jangkitan kuman pada bahagian tengkorak. Perkara ini boleh mempengaruhi pendengaran dan perkembangannya dari semasa ke semasa sehingga boleh menyebabkan kecacatan seperti masalah pendengaran. Jika masalah pendengaran berlaku maka otak yang sedang berkembang tidak dapat menerima atau mengaitkan bunyi serta tidak dapat mengenal huruf dengan baik.

4) BIOLOGI

Punca berlakunya masalah disleksia juga adalah disebabkan kelahiran yang tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor ini juga boleh menyebabkan punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan otak. Sebahagiannya mungkin menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah belajar. Menurut pensyarah Psikologi Klinikal dar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain, berdasarkan kajian menerusi mesin pengimejan resonans magnetik (MRI), kerosakan otak yang dialami golongan disleksia berkemungkinan terbentuk sejak mereka berada di dalam kandungan ibu mereka lagi. Individu disleksia mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak kiri.


JENIS-JENIS DISLEKSIA

1) Diprasia

2) Disgrafia

3) Hiperleksia

4) Disleksia visual

5) Disleksia Auditori

6) Disleksia Visual-Auditori ( Tactile dan Kinestetik)

 

BERIKUT MERUPAKAN HURAIAN BAGI JENIS-JENIS DISLEKSIA YANG DINYATAKAN DI ATAS

 

1) DISPRASIA

   Disprasia adalah masalah dari segi perkembangan motor dan berkaitan dengan masalah bahasa,persepsi dan pemikiran. Masalah ini menyebabkan mereka tidak matang dalam melakukan pergerakan ataupun melaksanakan pelbagai aktiviti. Sebagai contoh, mereka tidak pandai menulis, tidak mampu merancang pergerakan dengan sendiri, tidak pandai bercakap( gagap) dan pelbagai lagi.

 

2) DISGRAFIA

   Disgrafia adalah kesukaran untuk menyatakan atau menterjermahkan apa yang ada dalam pemikiran ke dalam bentuk tulisan dan graf. Ini bermakna mereka tidak dapat menulis ataupun menghadapi masalah penulisan kerana mereka tidak memahami sistem simbol. Sebagai contoh, mereka tidak boleh menulis ataupun sukar untuk menulis walaupun hanya menyalin.

 

3) HIPERLEKSIA

   Hiperleksia adalah menghadapi masalah dalam membaca bahasa ataupun berinteraksi dengan manusia. Ini bermakna mereka ini mempunyai  masalah ketika bercakap. Oleh itu mereka jarang untuk memulakan perbualan dan sukar untuk menjawab persoalan yang ditanya kepada mereka kerana mereka hanya mempelajari simbol dan nombor tetapi tidak petah untuk berucap ataupun bercakap.

 

4) DISLEKSIA VISUAL

   Disleksia visual pula adalah mereka yang dapat melihat dengan baik tetapi tidak dapat membezakan dan mengingati setiap perkataan. Oleh itu, golongan yang mengalami disleksia ini tidak dapat membaca dengan baik kerana sukar untuk membezakan setiap abjad, perkataan, mengecam nombor dan angka serta pelbagai lagi. Jadi, golongan ini lebih mengutamakan aktiviti auditori bagi menyembunyikan kekurangan yang berkait dengan pandangan.

 

5) DISLEKSIA AUDITORI

   Disleksia auditori adalah mereka tidak mahir dalam mengesan dan mengenal pasti segala yang didengar kemudiannya menyumbang kepada pembelajaran. Masalah ini akan menyebabkan mereka gagal untuk membezakan bunyi, mengenal pasti perkataan mahupun membahagikan perkataan dalam suku kata. Mereka yang bermasalah disleksia auditori cenderung melakukan aktiviti yang tidak melibatkan kemahiran visual.

 

6) DISLEKSIA VISUAL-AUDITORI 

   Golongan ini tidak berupaya dalam melihat dan mendengar setiap perkataan ataupun bahasa yang diajar. Mereka lemah dalam menggunakan koordinasi mata, tangan mahupun pendengaran dalam proses pembelajaran. Perkara ini menyebabkan mereka sukar ataupun tidak tahu untuk menyusun urutan, mengimbas,membaca,menulis dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, kecelaruan bahasa ataupun disleksia ini bukanlah satu penyakit yang berbahaya tetapi cuma masalah semasa dalam pembelajaran di usia kanak-kanak. Masalah ini boleh diatasi cumanya memerlukan sedikit masa untuk mereka. Sejarah juga membuktikan bahawa orang yang mengalami disleksia ini boleh berjaya dan menjadi salah satu orang yang terkenal di dunia.

RUJUKAN:

Noor Aida Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norul Haida bt . Hj. Redzuan. Ilmu Psikolinguistik (2013) Perak: Emeritus Publications.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

PEMEROLEHAN BAHASA KEDUA